Pasaran Kanak-kanak Tidak Pernah Menurun.
Mengetahui apa yang dicintai oleh kanak-kanak, adalah perkara termahal yang diraih oleh pencinta kanak-kanak. Walaupun kanak-kanak tidak memegang duit yang banyak, mereka tetap mempunyai kuasa membeli yang kuat. Mereka akan mempengaruh dengan paling berkesan terhadap ibu bapa, supaya membeli apa yang mereka mahukan. Apa sahaja. Dengan apa cara sekalipun.
Disebabkan itu, biar keadaan ekonomi berombak tidak menentu, pasaran buku kanak-kanak tidak pernah merasa tempiasnya. Permintaan terhadap kemahuan kanak-kanak meningkat, dan terus meningkat. Dipenuhi, dan terus dipenuhi. Asalkan berbaloi bagi ibu bapa yang sudi melaburkan duit mereka.
Ilmu Psikologi Kanak-kanak Menjadi Buruan Ramai.
Di Malaysia, pengkaji sastera kanak-kanak tidak terhad kepada barisan pendidik di belantara ilmu, tidak kira di universiti mahupun sekolah. Sastera kanak-kanak turut dikaji oleh usahawan, seperti penerbit buku, pembuat alat mainan, penjual jajan, pembuat pakaian, dan entah siapa lagi. Di medan ini, psikologi kanak-kanak menjadi fokus utama.
Bercakap soal sastera kanak-kanak, begitu banyak teori yang menceritakan ciri-ciri cerita yang diminati oleh kanak-kanak. Dari aspek bergambar, berwarna, bahasa yang ringan, berilustrasi, plot yang menarik, nilai moral yang tidak padat, watak yang comel atau heroik, dan pelbagai lagi. Teori ini banyak membantu penulis, pereka cerita, pengarah drama, dan semua pembikin karya menyusun idea dengan baik, supaya kanak-kanak seronok menikmatinya.
Jika Kanak-kanak Menyukai, Dewasa Turut Menggemarinya.

Berbekalkan ilmu pengkajian trend dan pasaran, kita mendapati cerita-cerita yang berjaya memenangi hati kanak-kanak, turut mengaut untung daripada pasaran dewasa. Serentak. Ringkasnya begini; Jika kanak-kanak menyukai cerita ini, maka ibu bapanya turut menyukainya.
Barangkali ada unsur nostalgik, membuatkan sang tua ini memainkan kembali memori lama mereka. Atau memang orang dewasa itu memang ada ciri kanak-kanak di dalamnya? Ya, boleh jadi. Apatah lagi, ada kajian yang menunjukkan, semua orang dewasa mempunyai perwatakan keanak-anakan yang tersembunyi di dalam diri masing-masing.
Kanak-kanak Mencintai Penerokaan Alam Baru
Alam Baru. Ini kata kunci bagi artikel kali ini. Alam baru di sini bermaksud, alam selain alam biasa manusia. Mari kita senaraikan, apakah alam yang pernah kita ketahui.
Alam Ruh > Alam Rahim > Alam Dunia > Alam Barzakh
Tiada manusia yang mampu mereka-reka cerita akan kesemua alam ini, kecuali alam di dunia. Kerana alam itu tidak pernah mencapai akal manusia biasa, melainkan diceritakan oleh Al-Quran dan Hadis semata-mata. Penceritaan keadaan alam ini kepada kanak-kanak, perlulah dilakukan semasa mereka sudah cukup matang umurnya.
Maka, persoalan yang timbul, apakah alam lain yang boleh kita tembusi demi menarik perhatian kanak-kanak? Mari kita fikirkan bersama.
Bersambung seterusnya, Penerokaan Besar di Alam Dunia.